Pemilihan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong


Pemilihan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak ataupun yang turun-temurun tetapi Malaysia mempunyai Raja bergelar Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam selama 5 tahun, mengikut satu sistem yang unik di dunia. Baginda dipilih oleh Majlis Raja-raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.

Ciri-ciri Kelayakan

Ciri-ciri kelayakan seorang Raja untuk dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai Yang di-Pertuan Agong:-

  • Hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih selepas Raja itu memberi perkenan untuk dipilih;
  • Hanya Raja-raja sahaja yang boleh mengundi;
  • Sekiranya seorang Raja tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan, Seorang Raja lain hendaklah dilantik oleh Raja itu dan layak mengundi sebagai “proksi”;
  • Pada kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih. Peraturan ini tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX;
  • Selepas itu senarai baru yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong Pertama hingga Kesembilan) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Yang Tidak Layak Dipilih

Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali:-

  • Raja itu belum dewasa;
  • Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih; atau
  • Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.

Langkah-Langkah Awal Sebelum Pemilihan

  • Mendapatkan perkenan tarikh Mesyuarat Pemilihan;
  • Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu; dan
  • Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Catitan

Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Prosiding Pemilihan

Apabila Majlis Raja-raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri tidak hadir walaupun mereka anggota Majlis. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Kemudiannya dimasukkan dalam peti undi. Kertas undi dimusnahkan di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan. (Dibakar/dirincih)

Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama - sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja - raja. Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja - raja, Penyimpan Mohor Besar Raja - raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja - raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.

Proses Pemilihan

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda. Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi. Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun. (Contoh Kertas Undi bagi Pemilihan Yang di-Pertuan Agong)

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong penting, tetapi oleh kerana jawatan ini dibayangi oleh Yang di-Pertuan Agong maka institusi dan pemegang jawatan itu kurang dikenali oleh orang awam. Timbalan Yang di-Pertuan Agong biasanya lebih dikenali sebagai Raja negerinya daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Timbalan hanya penting apabila Baginda melaksanakan fungsi Yang di-Pertuan Agong sama ada semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong atau semasa Yang di-Pertuan Agong tidak dapat melaksanakan fungsi atas sebab kesihatan atau tidak berkemampuan.

Selain itu, Perlembagaan tidak memberikan Timbalan kedudukan yang lebih tinggi daripada Raja-raja lain. Dengan sebab memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Raja berkenaan tidak dianggap melebihi Raja yang lain. Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V. Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan dalam Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan.

Perlunya Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Kewujudan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bukanlah amalan yang luarbiasa. Ada banyak sebab perlunya pewujudan jawatan sedemikian kerana Yang di-Pertuan Agong mungkin tidak ada dalam negara terutamanya apabila Baginda membuat lawatan negara ke negara asing, kesihatan yang kurang baik mungkin menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada melaksanakan fungsinya dan kemungkinan berlakunya kemangkatan semasa masih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Hal ini berlaku pada Yang di-Pertuan Agong Pertama, Kedua dan Kesebelas.

Yang di-Pertuan Agong mungkin tidak dapat melaksanakan fungsi atas sebab lain. Dalam keadaan yang sedemikian, kehadiran Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang fungsinya ditetapkan dengan jelas dalam Perlembagaan membantu masalah yang mungkin berlaku.

Proses Pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Selepas tamat urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula disempurnakan mengikut proses yang sama semasa proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong. (Contoh Kertas Undi bagi Pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong)

Selepas Tamat Urusan Pemilihan

Selepas tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat mengenai mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas Baginda menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi.

Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong Dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Mengikut Perlembagaan Malaysia Perkara 37 (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan tugas-tugasnya mengangkat dan menandatangani suatu sumpah jawatan. Surat sumpah jawatan tersebut hendaklah ditandatangani di hadapan Majlis Raja-raja dengan diakusaksi oleh dua orang Raja, dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan atau Hakim Mahkamah Persekutuan yang terkanan selepasnya jika beliau tidak dapat hadir. Sumpah jawatan tersebut hendaklah juga disaksikan serta ditandatangani oleh dua orang Raja yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-raja. (Contoh Watikah Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong)

Mengikut Perlembagaan Malaysia Perkara 37 (2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan hendaklah sebelum menjalankan tugas-tugasnya yang lain daripada tugas-tugas yang dijalankan bagi maksud memanggil Mesyuarat Majlis Raja-raja mengangkat dan menandatangani suatu sumpah jawatan. Sumpah jawatan tersebut hendaklah disempurnakan dihadapan Majlis Raja-raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan. Jika sekiranya Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan tidak ada maka hendaklah digantikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada. (Contoh Watikah Sumpah Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong)